Monday, January 9, 2012

Hutang - Dah Bayar Ke?


Di dalam konteks Islam, berhutang memang dibolehkan. Islam memberi galakan kepada umatnya, agar memberi bantuan kepada saudara-saudaranya. Persoalannya sekarang ialah, sebahagian orang Islam sengaja melambat-lambatkan membayar hutang apabila tiba waktu hendak membayarnya. Berbagai-bagai alasan akan diberikan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran hutang tersebut. Sesungguhnya melambat-lambatkan bayaran hutang, amatlah besar sekali akibatnya dalam kehidupan manusia, bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat.


Orang yang mampu membayar hutang, tetapi tidak berbuat demikian semasa hidupnya dikira telah melakukan dosa besar. Kerana hutang inilah orang-orang yang mati syahid sekalipun tidak dapat memasuki syurga sebaliknya hanya berada di pintunya sahaja. Rasulullah SAW menjelaskan orang yang tidak membayar hutang doanya tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Nabi SAW sendiri tidak menunaikan solat jenazah ke atas sesuatu jenazah jika didapati ia ada hutang yang belum dijelaskan.

Setelah dipastikan mayat terlibat telah menjelaskan segala hutangnya ketika masa hidup, barulah Nabi SAW menyolatkan jenazahnya. Jika orang yang berhutang tidak membayar hutangnya sewaktu hidup di dunia ini, maka sesetengah amalan kebaikan yang dilakukan olehnya akan diberikan kepada si pemberi hutang pada hari kiamat kelak. Tindakan yang boleh dilakukan orang yang memberi hutang hendaklah meminta supaya hutangnya dilangsaikan dengan baik.

Jika tidak mampu hendaklah menggunakan tenaga orang tengah menggesanya supaya si peminjam membayar hutang itu. Jika tidak mampu juga, yang terlibat boleh mengambil tindakan mahkamah, kerana itu melibatkan haknya yang boleh dituntut di mahkamah, dan pihak yang berhutang hendaklah mematuhi keputusan mahkamah. Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai iman yang tinggi dan kuat, lalu memaafkan orang yang berhutang itu dan menghalalkannya sebelum orang yang berhutang itu meninggal dunia, ia akan mendapat ganjaran yang besar dari Allah.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Baginda s.a.w. bersabda: 

"Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naunganNya.

(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 



Kesimpulan Hadis: 

1- Galakkan supaya bertolak ansur dengan orang yang berhutang sama ada secara menangguhkan tempoh pembayaran hutang ataupun secara membebaskannya dari kesemua hutang atau sebahagiannya sahaja. 

2- Kelebihan orang yang bertolak ansur dengan orang yang berhutang di mana dia akan mendapat ganjaran yang sangat besar dan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak. 

3- Kelebihan mempermudahkan kepentingan orang lain dan menghulurkan bantuan kepada mereka serta harus berurusan dengan cara hutang.



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim..
lindungi diriku daripada bebanan hutang ya Allah..
permudahkan aku 
untuk membayar hutang-hutang PTPTN ku nanti ya Allah..
hanya pada-Mu saja 
aku meminta pertolongan 
kerana Engkau 
adalah sebaik-baik penolong..
amin-amin-amin


No comments: